Showing posts with label ISU KESANTUNAN. Show all posts
Showing posts with label ISU KESANTUNAN. Show all posts

Thursday, August 15, 2013

ISU PENGARUH POLITIK : Kesantunan dalam mendapatkan Pengaruh Politik

Isu Pengaruh Politik : Kesantunan dalam mendapatkan Pengaruh Politik



PENGENALAN


Pengaruh secara umumnya merujuk kepada satu keadaan di mana seseorang cuba membuat orang lain menyukainya atau menyokongnya. Misalnya A boleh mempengaruhi B sekiranya kehendak A menyebabkan perubahan pada tingkahlaku B.


Dalam ilmu politik, pengaruh berkait rapat dengan kekuasaan. Pengaruh ialah alat kekuasaan yang amat penting dalam mengekalkan kedudukan ahli politik. Tanpa pengaruh, adalah mustahil seseorang pemimpin itu boleh mempertahankan kekuasaannya.



ISU-ISU


Kini, seseorang akan melakukan apa sahaja untuk mempengaruhi orang lain bagi mencapai dan memenuhi cita-citanya tanpa mempedulikan cara mendapatkan pengaruh itu bercanggah dengan norma masyarakat atau tidak. Bagi mereka, pengekalan kuasa adalah paling penting. Kita sering menyaksikan perpecahan dan pertentangan sesama sendiri untuk mencari pengaruh. Mereka berlumba-lumba mencari pengaruh tanpa menghiraukan cara untuk mendapatkannya. Matlamat menghalalkan cara. Pengaruh mesti dicari dalam apa keadaan pun hatta terpaksa menggunakan unsur-unsur paksaan. Pencarian pengaruh dikuasai oleh hawa nafsu semata-mata. Wang ringgit dicurahkan demi untuk mengekalkan dan menambahkan pengaruh. Rasuah bermaharajalela. Tidak kurang juga yang menggunakan kuasa yang ada untuk mengekalkan pengaruh. Kuasa digunakan sewenang-wenangnya untuk mengekalkan sokongan rakyat. Fitnah-menfitnah sering berlaku. Prinsip-prinsip ikhlas dan amanah tidak dihiraukan lagi. Oleh itu, dalam keghairahan mencari pengaruh, prinsip-prinsip mulia mesti disemaikan di dalam diri.


     Hal ini amat membimbangkan dan jelas menunjukkan kemerosotan kesantunan dalam kalangan ahli politik Malaysia. Pengembalian kesantunan, tatasusila dan ketertiban dalam medan politik dan dalam kehidupan masyarakat mestilah diberi keutamaan sebagai salah satu langkah untuk mewujudkan masyarakat yang membudayakan sikap kesantunan.


     Memang tidak dapat dinafikan bahawa pengaruh itu penting dalam hidup bermasyarakat. Pengaruh penting kepada manusia yang hidup berkumpulan untuk menjadi satu pasukan yang kuat. Dengan adanya pengaruh, benteng yang kukuh untuk mempertahankan diri dapat dibentuk. Ibu bapa mempengaruhi anak-anaknya untuk menghormati mereka melalui pendidikan. Guru mempengaruhi muridnya melalui ilmu yang diajarkan sehinggakan guru itu dihormati oleh muridnya.




     Pemimpin pula cuba mempengaruhi rakyat untuk mengekalkan kedudukannya dengan melaksanakan pembangunan negara. Dalam pilihanraya, pemimpin-pemimpin yang bertanding akan cuba mempengaruhi orang ramai dengan menjanjikan kemudahan-kemudahan yang akan diperoleh oleh mereka. Janji-janji yang tidak dikotakan merupakan satu etika yang tidak digalakkan. Hal ini sering berlaku dalam dunia politik Malaysia.


     Namun demikian, pengaruh boleh membawa keburukan jika tidak digunakan mengikut saluran yang betul. Cara untuk mendapatkan pengaruh melalui saluran yang tidak sepatut akan menjerumuskan seseorang itu ke kancah pehnginaan. Misalnya, pengaruh melalui paksaan, rasuah, penindasan, kezaliman dan lain-lain lagi. Hal ini juga pernah berlaku di Malaysia di mana ahli politik terlalu mengidamkan kekuasaan politik sehingga melakukan perkara-perkara yang tidak bersantun dan tidak bermoral.


     Cara mendapatkan pengaruh politik melalui saluran yang betul ialah menggunakan strategi yang diplomatik, berakhlak mulia, berlemah lembut, bersantun ketika berbahasa dan berbudi bahasa tinggi. Amalan menawarkan harta benda, intan berlian atau menggunakan bomoh (sihir) untuk mendapatkan sokongan orang ramai harus dielakkan.


Cemuhan yang diterima harus dihadapi dengan sabar dan bersantun dan bukannya membalas dengan cemuhan atau bahasa yang tidak bersantun. Perkara membalas-balas cemuhan antara ahli atau badan politik pernah berlaku di Malaysia di mana kedua-dua pihak mencemuh melalui media. Sikap ini dianggap tidak bersantun. Hal ini telah menjejaskan kesejahteraan dalam dunia politik Malaysia.



SIFAT POSITIF




Beberapa perkara berikut hendaklah dipegang teguh dalam mendapatkan pengaruh politik. Antaranya ialah:


1.       Pemimpin hendaklah menunjukkan contoh teladan yang baik dan mulia.
2.       Bertanggungjawab kepada orang yang lebih tinggi kedudukan.
3.       Jangan bangga diri, elakkan diri dari mengecam atau memandang rendah kepada     
          orang lain.
4.       Jangan terlalu bersikap memerintah kerana setiap orang tidak suka diperintah. Elakkan
           diri dari berkata: "Buat ini, buat itu".Tetapi berkatalah: "Apakah anda bersedia 
           melakukan ini"?
5.       Selalu memberi pujian dengan ikhlas dan berbudi pekerti mulia.
6.       Menghargai pendapat orang lain dan rendah diri.
7.       Berlemah lembut dan menyenangkan hati orang lain.
8.       Sentiasa ingat orang lain. Setiap orang suka diperhati. Mendahului ucapan salam.
9.       Serikan wajah dengan senyum yang ikhlas.
10.     Lihat kelebihan orang lain daripada melihat kekurangannya. Setiap orang ingin 
          dianggap baik dan penting.


SIFAT NEGATIF



Dalam mendapatkan pengaruh politik, Sewajarnya kita meninggalkan sifat-sifat yang negatif seperti:


1.       Menggunakan pengaruh sehingga menggadai dan mempersendakan agama, bangsa 
          dan negara. Agama tidak patut dijadikan alat untuk mencapai matlamat tertentu.
2.       Menggunakan wang ringgit atau harta kekayaan (Rasuah)
3.       Menaburkan janji kosong (Penipuan)
4.       Menggunakan sihir (bomoh)
5.       Mengecam, menghina atau cuba menjatuhkan peribadi orang lain


KESIMPULAN

Dalam mendapatkan pengaruh politik, setiap pemimpin haruslah memiliki iman dan akhlak yang tinggi. Sekiranya prinsip-prinsip asas dalam mencari pengaruh diikuti, matlamat untuk mewujudkan suasana politik yang stabil dan harmoni akan tercapai.





ISU KORPORAT :PENGGUNAAN BAHASA DALAM BIDANG KORPORAT

Pengenalan tentang Korporat

Korporat adalah perkara berkaitan dengan syarikat atau per­badanan tertentu atau perbadanan pada umumnya. Korporat merujuk kepada syarikat-syarikat dan firma-firma besar seperti Lembaga Tabung Haji (TH), Perbadanan Usahawan Nasional (PUNB).

Penggunaan bahasa yang sopan dalam korporat amatlah penting kerana dapat menyenangkan hati orang lain dan dapat mengelakkan daripada menyakiti hati orang lain. Penggunaan bahasa sopan dengan bahasa yang kurang sopan walaupun membawa maksud yang sama memberi perbezaan yang amat besar.


Contoh penggunaan bahasa yang sopan dengan bahasa kurang sopan dalam bahasa korporat:


1.    Menggunakan “We will do it”  dan bukannya “You will do it”

2.
Menggunakan “You have done a great job”
dan bukannya “More work to be given to you”










3.   Menggunakan “We are working on it” dan bukannya “We have not yet started working on the same”



4.    Menggunakan “Tomorrow first thing in the morning” dan bukannya “Its not getting done… At least not tomorrow!”


5.    Menggunakan “After discussion we will decide – I am very open to views” dan bukannya “I have already decided, I will tell you what to do”


6.    Menggunakan “There was a slight miscommunication”dan bukannya “We had actually lied”


7.    Menggunakan “Lets call a meeting and discuss”dan bukannya “I have no time now, will talk later”


8.    Menggunakan “We can always do it” dan bukannya “We actually cannot do the same on time”


9.    Menggunakan “We are on the right track but there needs to be a slight extension of the deadline” dan bukannya “The project is screwed up, we cannot deliver on time.”


10.  Menggunakan “We had slight differences of opinion”dan bukannya “We had actually fought”


11.  Menggunakan “Make a list of the work that you do and let’s see how I can help you” dan bukannya “Anyway you have to find a way out no help from me”


12.  Menggunakan “You should have told me earlier” dan bukannya “Well even if you told me earlier that would have made hardly any difference!”


13.  Menggunakan “We need to find out the real reason” dan bukannya “Well I will tell you where your fault is”


14.  Menggunakan “We are a team” dan bukannya “I am not the only one to be blamed”


15.  Menggunakan “That’s actually a good question” dan bukannya “I do not know anything about it”


16.  Menggunakan “All the Best” dan bukannya “You are in trouble”

 











Kesimpulannya, kita mestilah bijak memilih perkataan yang sopan semasa bercakap atau berkomunikasi dengan orang lain agar tidak menimbulkan pergaduhan dan pertelingkahan.





Wednesday, August 14, 2013

ISU PERTEMBUNGAN BUDAYA : BUDAYA TIMUR vs BUDAYA BARAT

ISU PERTEMBUNGAN BUDAYA :
BUDAYA TIMUR vs BUDAYA BARAT



PENGENALAN

Pengalaman hidup dan berinteraksi dengan masyarakat Barat ketika zaman belajar mahupun ketika bekerja pasti memberikan pengalaman yang cukup berharga bagi setiap individu. Rata-rata bagi yang pernah mendepani pengalaman serupa pasti akan bersetuju bahawa terdapat jurang yang agak besar antara budaya Timur dan Barat dalam segenap aspek kehidupan. Tidak dapat dinafikan bahawa pelbagai kelebihan budaya ketimuran yang terkenal dengan kelembutan dan tatasusila, tidak salah juga rasanya kita menangguk anasir-anasir baik yang begitu sinonim dengan budaya Barat bagi menambahbaik kualiti serta daya saing bangsa Timur.

(Biru=Barat, Merah=Timur)




1.Antara Jelas Dan Berkias


     Masyarakat Timur sangat terkenal dengan pelbagai pantang larang dan formaliti berasaskan konsep kesantunan yang kita amalkan selama ini. Masyarakat Barat pula mementingkan isi perbicaraan ketika berkomunikasi. Oleh itu, mereka sangat berterus-terang dan jelas dalam menyampaikan mesej. Budaya Timur mementingkan lambang tidak verbal dalam komunikasi, kadangkala keterlaluan sehingga mengundang pelbagai komplikasi. Penyampaian mesej yang ringkas dan mudah akhirnya menjadi sukar kerana menghormati status pendengar, meraikan masa dan lokasi, menjaga perasaan khalayak dan faKtor lain yang berasaskan konsep kesantunan berbahasa.

Maka tidak hairanlah mesyuarat dalam syarikat korporat terkemuka Barat berjalan dengan sangat ringkas, padat dan tepat. Manakala di syarikat Timur, mesyuarat yang mudah mengambil masa berjam-jam, kadangkala berlarutan tanpa kesudahan, keputusan atau resolusi yang meyakinkan.


ANGER
Jika tidak berpuas hati terhadap sesuatu, masyarakat Barat akan lantas berterus terang. Mereka akan berbincang secara matang dan mengharmonikan kembali suasana. Sebaliknya orang Timur biasanya hanya akan diam memendam rasa tetapi api kemarahannya akan disimpan.





2. Antara formaliti dan rendah hati

 THE BOSS 

     Dalam masyarakat Barat, status dan pangkat tidak menjadi keutamaan. Majikan hanya lebih berkedudukan dalam susun organisasi sahaja. Formaliti tidak begitu ditekankan. Budaya sebegini mencerna kemesraan dan menutup jurang perbezaan tanpa berlaku penghakisan rasa hormat terhadap individu yang berstatus lebih tinggi. Yang lebih menarik, mereka yang berkedudukan juga tidak meninggi diri. 


     Dalam majlis rasmi, pengacara majlis tidak menyebut nama seorang demi seorang tetamu kehormat yang hadir, tetapi hanya disapa sebagai ’ladies and gentleman’. Namun, majlis formal di Malaysia biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya 5 minit untuk menepati protokol bagi menyebut nama dan meraikan tetamu kehormat yang hadir bagi memenuhi aspek kesantunan.

     Formaliti sememangnya diperlukan sebagai asas susun atur kerangka perhubungan masyarakat. Namun jika terlalu diberat-beratkan, akan menatijahkan hubungan yang kering, jurang status sosial yang besar serta pelbagai protokol kompleks untuk menyelesaikan sesuatu yang mudah.




3. Antara Sapa Dan Lupa

     Di negara Barat, ke mana sahaja kita pergi kita pasti akan disapa mesra. Mereka bertanya khabar dan berkenalan walaupun dengan individu yang tidak pernah dikenali. Situasi ini amat sukar ditemui di Malaysia.
Adakah kita telah lupa bahawa masyarakat Timur yang mementingkan kesantunan dan tatasusila yang halus berbanding masyarakat Barat yang lebih mengutamakan individualistik?

     Pemerhatian dan kajian menunjukkan budaya menegur sapa, memberi salam, berjabat tangan dan bertanya khabar dalam masyarakat Timur semakin terhakis. Senario yang menunjukkan sifat kesantunan seperti membongkokkan badan apabila melintas di hadapan orang yang lebih tua, menutup mulut ketika ketawa serta pemakaian dan pergaulan sopan anak-anak gadis sudah semakin luntur.


Sudah tentu kita telah terbiasa dengan fenomena seperti duduk bersebelahan di dalam bas sepanjang perjalanan 5 jam tanpa saling menyapa dan bertanya khabar. Adakah terlalu sukar untuk kita melafazkan salam dan perkataan ‘Apa khabar?’ atau ‘Amacam?’ Atau sekurang-kurangnya sekadar melempar senyum!





4. Antara Semangat Ingin Tahu Dan Kepatuhan Melulu

     Akibat terlalu lama dijajah bangsa asing, masyarakat Timur menjadi rendah keyakinan diri, kurang proaktif, rendah semangat ingin tahu serta sering tunduk dan patuh tanpa banyak soal dan bantahan. Sebaliknya masyarakat Barat sangat tinggi semangat ingin tahu, begitu agresif dan bertenaga, kritis serta lebih kreatif.

     Selain faktor sejarah, sistem pendidikan serta budaya masyarakat semasa juga memberi kesan. Sebagai contoh, sistem pendidikan awal kanak-kanak terlalu mementingkan aspek akademik, budaya menerima tanpa mempertikai, interaksi sosial yang sempit dan longgar telah melahirkan generasi yang introvert, malu tidak bertempat, tidak kompetitif dan jumud. Dalam masyarakat Barat, sistem pendidikan kanak-kanak memberikan penekanan terhadap aspek pembinaan karakter dan kemahiran berbanding akademik.


KANAK-KANAK


      Contohnya, kanak-kanak Barat suka bertanya pelbagai soalan kepada ibu bapanya sepanjang perjalanan selama sejam dalam keretapi. Ibu bapanya pula akan menjawab satu demi satu soalan dengan penuh sabar dan sesekali bertanya kembali untuk menguji anaknya. Interaksi sebegitu pastinya akan menambah semangat ingin tahu anak-anak serta membina keyakinan diri dan kesedaran sosial yang mapan. Kisah sebegini bukanlah perkara terpencil dalam masyarakat Barat. Pelajar mahupun pekerja dari Barat memiliki tulisan tangan yang tidak kemas berbanding kebanyakan warganegara Malaysia, tetapi mereka jauh lebih terkehadapan dari segi pertuturan.




5. Antara Ketepatan Masa Dan Kepenatan Menunggu Masa


     Dalam masyarakat Timur, individu yang berdisiplin dan menepati masa akan terasa rugi kerana penat menunggu setiap kali tiba awal dan akhirnya akan mengikut jejak langkah majoriti yang lewat. Masyarakat Barat pula sangat terkenal dengan budaya ’monochronic time’. Ketepatan masa diambil berat. Mereka menghormati masa dan sangat serius dalam pengurusannya. Pemandu bas juga sangat menghormati masa dan memastikan perjalanan bermula tepat mengikut jadual.





KESIMPULAN

Jurang yang besar antara budaya Barat dan Timur dalam aspek komunikasi dan sosial adalah natijah sejarah ketamadunan, latar belakang masyarakat serta sistem kehidupan dan nilai semasa yang digunapakai. Jika Barat lebih mendewakan intelektual (IQ), maka timur lebih menggunakan hati (EQ). Pengaruh ini pun terlihat dalam kehidupan sehari-hari. Dunia Barat bertumpu pada pembangunan sistem sebagai kekuatan yang menjaga nilai, sedangkan Timur memiliki kekuatan dalam menanamkan nilai-nilai tersebut menjadi personalbeliefs. Jika dua budaya ini disatukan, budaya yang hebat akan dilahirkan. Oleh itu, kita tidak harus pasrah dengan ketentuan takdir dan terus berada dalam kepompong kemunduran dan kelemahan. Masyarakat Timur di Malaysia perlu melakukan anjakan paradigma, reformasi sikap, membaiki kelemahan jatidiri serta memupuk nilai-nilai positif dalam pembentukan sebuah bangsa yang bersantun dan bertamadun. Hal ini harus bermula dari institusi keluarga, sistem pendidikan dan perhubungan sosial masyarakat yang sihat. Dengan ini, pasti kita dapat mencipta perubahan positif yang diharapkan.






ISU SIKAP IBU BAPA DAN MASYARAKAT 1 : Perubahan Sosial Dan Kesopanan Masyarakat

Isu Sikap Ibu Bapa dan Masyarakat 1: Perubahan Sosial Dan Kesopanan MasyarakatinShare


KAJIAN
     Kota raya Kuala Lumpur diletakkan pada kedudukan ke-33 daripada 35 buah kota raya terpilih di seluruh dunia dalam kajian mengenai keramahan dan kemesraan. Reader’s Digest telah menghantar wartawannya untuk melihat sendiri bagaimana masyarakat di bandar raya berkenaan bertindak balas terhadap tiga ciri berikut :

1.     Sanggup membuka pintu kepada orang yang tidak dikenali
2.     Sanggup mmembantu seseorang yang memerlukan
3.     Ramah dengan senyuman ketika memberi perkhidmatan.

     Daripada senarai yang dikeluarkan, bandar raya New York, Amerika Syarikat berada pada kedudukan teratas dengan 88%. Ed Koch, bekas datuk bandar berkata penduduk New York kini lebih prihatin dan bersikap penyayang selepas kejadian 11/9 kerana menyedari betapa singkatnya kehidupan dan kepentingan bersantun dalam kehidupan harian.

     Masyarakat kota yang paling biadab ialah Mumbai, India yang mana ketiga-tiga elemen yang dikaji adalah begitu asing bagi masyarakatnya. Di Asia, Manila berada pada kedudukan ke 23 iaitu bandar raya terbaik berbanding bandar raya Asia yang lain.

PENDAPAT MENGENAI KAJIAN (MALAYSIA)

     Analisis kajian ini mencadangkan aras kesopanan diletakkan pada 55%. Tinjauan yang dibuat oleh New Straits Times sebagai susulan kajian ini memperlihatkan pertentangan jelas antara orang tempatan dan luar mengenai kebiadaban masyarakat Kuala Lumpur. Mustafa Azhar, seorang pesara mengakui masyarakat Malaysia memang tidak bersantun. Beliau menceritakan pengalamannya dalam banyak kejadian di mana ketika pintu dibuka, ramai yang meluru untuk masuk dari belakangnya. Pengalaman orang lama seperti ini mengesahkan ketidaksantunan dalam kalangan masyarakat.

     Noraiti Mohd, seorang pengurus kurang bersetuju dengan hasil kajian berkenaan. Katanya rakyat Malaysia lebih bersantun berbanding masyarakat luar. Sesetengah kakitangan kerajaan dan peniaga di Jalan Petaling, Kuala Lumpur mungkin bertindak kurang bersantun tetapi secara keseluruhannya beliau menganggap orang Malaysia tidaklah seburuk yang disangkakan.

     Dua orang penduduk luar yang telah menetap di Kuala Lumpur masing-masing mempunyai pendapat yang sama. Margaret Richards, seorang pesara dari London pernah menetap di Kuala Lumpur dari tahun 1978 hingga 1986 tidak bersetuju dengan hasil kajian yang diumumkan itu. Beliau mempertahankan sikap ramah, sopan, mesra, santun dan senang dengan senyuman rakyat Malaysia. Keyakinan ini ditambah dengan hasrat anak perempuannya yang memilih untuk menetap di Kuala Lumpur berbanding London dan New Zealand.

     “Masyarakat Malaysia bersantun, baik terhadap kanak-kanak dan melayan dengan mesra apabila dikenali”, itulah ungkapan daripada Nancy Bradshaw, seorang warga Canada yang telah tinggal selama 3 ½ tahun di Malaysia.

     Hasil kajian ini dan pendapat orang ramai memperlihatkan keputusan yang bercampur-campur. Orang tempatan mengakui bahawa masyarakat Malaysia sememangnya tidak bersantun manakala orang luar mempunyai pendapat yang sebaliknya. Y.B. Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ketika diminta mengulas hasil kajian ini, berkata keputusan yang dikeluarkan itu boleh dipertikaikan kerana asas yang digunakan dalam menentukan kota raya tidak bersantun tidak jelas. Bagaimanapun beliau bersetuju masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki ke arah mewujudkan masyarakat yang membudayakan sikap kesantunan. Kita yakin ramai lagi yang mempunyai pandangan yang sama dengan beliau.


SUMBER KAJIAN

     Daripada perspektif yang berbeza, sumber kajian ini ialah Reader’s Digest mengendalikan kajian yang melibatkan 35 buah kota raya di seluruh dunia dengan 2000 ujian dan pemerhatian yang berasingan. Proses ini tidak mudah dijalankan. Banyak perbelanjaan, masa dan tenaga yang diperuntukkan bagi melengkapkan penyelidikan ini.

     Keinginan pengkaji untuk melihat tiga elemen sahaja sebagai asas penilaian kepada kesantunan masyarakat tentulah dibuat saringan yang lengkap dan teliti. Malahan ketiga-tiga kriteria ini adalah kriteria bersahaja dalam masyarakat. Mengucapkan “terima kasih” terdapat dalam semua masyarakat yang bertamadun. Tentulah terdapat faktor-faktor lain yang kadangkala menjadikan ucapan terima kasih amat berat untuk dilafazkan.

     Membantu mengangkat sesuatu barang yang jatuh dan membuka pintu adalah tindakan spontan yang lahir daripada keinginan untuk meringankan beban orang lain selain daripada tanda hormat. Ia turut berkait rapat dengan nilai yang dimiliki oleh seseorang itu sama ada menghargai sifat ingin menolong ataupun tidak.

ULASAN : MALAYSIA

     Sejarah perkembangan masyarakat Malaysia berbeza dengan Amerika Syarikat yang telah merdeka lebih daripada 200 tahun. 20 bandar raya teratas dalam kajian ini ialah negara yang telah maju dan mempunyai tamadun yang telah berakar umbi dalam masyarakat.
Olivia Turley
     Olivia Turley, pelajar Master Sains Universiti Putra Malaysia berasal dari Amerika Syarikat sering mengakhiri pesanan ringkasnya dengan ucapan yang ramah dan menggembirakan. Beliau kerap bertanya khabar dan sentiasa murah dengan senyuman dalam pertemuan. Agak sukar bagi kita untuk berjumpa dengan pelajar Malaysia yang bersikap begitu.

     Malaysia telah mengalami 3 tiga peringkat perubahan sosial, iaitu era pramoden, era penjajahan dan era pembangunan negara dan rancangan lima tahun. Perubahan era ini telah memecahkan kesepaduan nilai dari satu era ke era yang lain bergantung pada proses perubahan yang hendak ditujui. Adakah kita harus mengenepikan nilai kesantunan dan norma yang terpuji semata-mata untuk menjadi negara maju? Di mana kesudahannya Kempen Budi Bahasa yang telah membelanjakan jutaan ringgit bagi mewujudkan kesedaran masyarakat? Kempen yang singkat tidak berkesan. Khalayak agak terkejut dengan kempen yang agresif dan singkat kerana mereka belum bersedia sepenuhnya.

KESIMPULAN

     Pembinaan masyarakat yang bersantun dan berakhlak mulia harus bermula daripada peringkat masyarakat dan menjalar ke bandar raya. Kesedaran keluarga bagi menjadikan kesantunan sebagai amalan harian adalah kunci kepada kejayaan ini. Kita bersetuju dengan kempen 10 tahun yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Kesenian, Kebudayan dan Warisan untuk memanjangkan kempen ini ke sekolah-sekolah. Berapa banyak pula peruntukan yang hendak dikeluarkan seharusnya berbaloi dengan hasil yang diingini.

      Orang ramai tidak harus melatah apabila Kuala Lumpur diletakkan jauh di bawah dalam kajian ini pada tahun ini sebaliknya perlu muhasabah diri bagi memperbaiki setiap kelemahan yang ada. Marilah mengamalkan sikap kesantunan dalam kehidupan seharian J