Isu Sikap Ibu Bapa dan Masyarakat 1: Perubahan Sosial Dan Kesopanan
MasyarakatinShare
KAJIAN
Kota raya Kuala
Lumpur diletakkan pada kedudukan ke-33 daripada 35 buah kota raya terpilih di
seluruh dunia dalam kajian mengenai keramahan dan kemesraan. Reader’s Digest
telah menghantar wartawannya untuk melihat sendiri bagaimana masyarakat di
bandar raya berkenaan bertindak balas terhadap tiga ciri berikut :
1. Sanggup membuka pintu kepada orang yang tidak dikenali
2. Sanggup mmembantu seseorang yang memerlukan
3. Ramah dengan senyuman ketika memberi perkhidmatan.
Daripada senarai
yang dikeluarkan, bandar raya New York, Amerika Syarikat berada pada kedudukan
teratas dengan 88%. Ed Koch, bekas datuk bandar berkata penduduk New York kini
lebih prihatin dan bersikap penyayang selepas kejadian 11/9 kerana menyedari
betapa singkatnya kehidupan dan kepentingan bersantun dalam kehidupan harian.
Masyarakat kota yang paling biadab ialah Mumbai, India yang mana
ketiga-tiga elemen yang dikaji adalah begitu asing bagi masyarakatnya. Di Asia,
Manila berada pada kedudukan ke 23 iaitu bandar raya terbaik berbanding bandar
raya Asia yang lain.
PENDAPAT MENGENAI KAJIAN (MALAYSIA)
Analisis kajian
ini mencadangkan aras kesopanan diletakkan pada 55%. Tinjauan yang dibuat oleh
New Straits Times sebagai susulan kajian ini memperlihatkan pertentangan jelas antara
orang tempatan dan luar mengenai kebiadaban masyarakat Kuala Lumpur. Mustafa
Azhar, seorang pesara mengakui masyarakat Malaysia memang tidak bersantun.
Beliau menceritakan pengalamannya dalam banyak kejadian di mana ketika pintu
dibuka, ramai yang meluru untuk masuk dari belakangnya. Pengalaman orang lama
seperti ini mengesahkan ketidaksantunan dalam kalangan masyarakat.
Noraiti Mohd,
seorang pengurus kurang bersetuju dengan hasil kajian berkenaan. Katanya rakyat
Malaysia lebih bersantun berbanding masyarakat luar. Sesetengah kakitangan
kerajaan dan peniaga di Jalan Petaling, Kuala Lumpur mungkin bertindak kurang bersantun
tetapi secara keseluruhannya beliau menganggap orang Malaysia tidaklah seburuk
yang disangkakan.
Dua orang
penduduk luar yang telah menetap di Kuala Lumpur masing-masing mempunyai
pendapat yang sama. Margaret Richards, seorang pesara dari London pernah
menetap di Kuala Lumpur dari tahun 1978 hingga 1986 tidak bersetuju dengan
hasil kajian yang diumumkan itu. Beliau mempertahankan sikap ramah, sopan,
mesra, santun dan senang dengan senyuman rakyat Malaysia. Keyakinan ini
ditambah dengan hasrat anak perempuannya yang memilih untuk menetap di Kuala
Lumpur berbanding London dan New Zealand.
“Masyarakat
Malaysia bersantun, baik terhadap kanak-kanak dan melayan dengan mesra apabila
dikenali”, itulah ungkapan daripada Nancy Bradshaw, seorang warga Canada yang
telah tinggal selama 3 ½ tahun di Malaysia.
Hasil kajian ini
dan pendapat orang ramai memperlihatkan keputusan yang bercampur-campur. Orang
tempatan mengakui bahawa masyarakat Malaysia sememangnya tidak bersantun manakala
orang luar mempunyai pendapat yang sebaliknya. Y.B. Datuk Seri Mohd Najib Tun
Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia ketika diminta mengulas hasil kajian ini,
berkata keputusan yang dikeluarkan itu boleh dipertikaikan kerana asas yang
digunakan dalam menentukan kota raya tidak bersantun tidak jelas. Bagaimanapun
beliau bersetuju masih terdapat ruang yang boleh diperbaiki ke arah mewujudkan
masyarakat yang membudayakan sikap kesantunan. Kita yakin ramai lagi yang
mempunyai pandangan yang sama dengan beliau.
SUMBER KAJIAN
Daripada
perspektif yang berbeza, sumber kajian ini ialah Reader’s Digest mengendalikan
kajian yang melibatkan 35 buah kota raya di seluruh dunia dengan 2000 ujian dan
pemerhatian yang berasingan. Proses ini tidak mudah dijalankan. Banyak
perbelanjaan, masa dan tenaga yang diperuntukkan bagi melengkapkan penyelidikan
ini.
Keinginan
pengkaji untuk melihat tiga elemen sahaja sebagai asas penilaian kepada kesantunan
masyarakat tentulah dibuat saringan yang lengkap dan teliti. Malahan
ketiga-tiga kriteria ini adalah kriteria bersahaja dalam masyarakat.
Mengucapkan “terima kasih” terdapat dalam semua masyarakat yang bertamadun.
Tentulah terdapat faktor-faktor lain yang kadangkala menjadikan ucapan terima
kasih amat berat untuk dilafazkan.
Membantu
mengangkat sesuatu barang yang jatuh dan membuka pintu adalah tindakan spontan
yang lahir daripada keinginan untuk meringankan beban orang lain selain
daripada tanda hormat. Ia turut berkait rapat dengan nilai yang dimiliki oleh
seseorang itu sama ada menghargai sifat ingin menolong ataupun tidak.
ULASAN : MALAYSIA
Sejarah
perkembangan masyarakat Malaysia berbeza dengan Amerika Syarikat yang telah merdeka
lebih daripada 200 tahun. 20 bandar raya teratas dalam kajian ini ialah
negara yang telah maju dan mempunyai tamadun yang telah berakar umbi dalam
masyarakat.
Olivia Turley |
Olivia Turley,
pelajar Master Sains Universiti Putra Malaysia berasal dari Amerika Syarikat
sering mengakhiri pesanan ringkasnya dengan ucapan yang ramah dan
menggembirakan. Beliau kerap bertanya khabar dan sentiasa murah dengan senyuman
dalam pertemuan. Agak sukar bagi kita untuk berjumpa dengan pelajar Malaysia
yang bersikap begitu.
Malaysia telah mengalami 3 tiga peringkat perubahan sosial, iaitu era pramoden, era penjajahan dan
era pembangunan negara dan rancangan lima tahun. Perubahan
era ini telah memecahkan kesepaduan nilai dari satu era ke era yang lain
bergantung pada proses perubahan yang hendak ditujui. Adakah
kita harus mengenepikan nilai kesantunan dan norma yang terpuji semata-mata untuk menjadi negara maju? Di mana kesudahannya Kempen Budi Bahasa yang
telah membelanjakan jutaan ringgit bagi mewujudkan kesedaran masyarakat?
Kempen yang singkat tidak berkesan.
Khalayak agak terkejut dengan kempen yang agresif dan singkat kerana mereka
belum bersedia sepenuhnya.
KESIMPULAN
Pembinaan
masyarakat yang bersantun dan berakhlak mulia harus bermula daripada peringkat
masyarakat dan menjalar ke bandar raya. Kesedaran keluarga bagi menjadikan
kesantunan sebagai amalan harian adalah kunci kepada kejayaan ini. Kita
bersetuju dengan kempen 10 tahun yang akan dilaksanakan oleh Kementerian
Kesenian, Kebudayan dan Warisan untuk memanjangkan kempen ini ke sekolah-sekolah.
Berapa banyak pula peruntukan yang hendak dikeluarkan seharusnya berbaloi
dengan hasil yang diingini.
Orang ramai tidak harus melatah apabila
Kuala Lumpur diletakkan jauh di bawah dalam kajian ini pada tahun ini
sebaliknya perlu muhasabah diri bagi memperbaiki setiap kelemahan yang ada.
Marilah mengamalkan sikap kesantunan dalam kehidupan seharian J
No comments:
Post a Comment