Saturday, August 17, 2013

M12 : Peraturan Berbahasa (Tujuan Dan Giliran Bercakap)


Peraturan Berbahasa


Dalam percakapan, kita harus :
Ø  Bercakap tentang perkara yang penting dahulu. Hal ini kerana perkara yang penting itu  mungkin mendatangkan kesan yang mendalam kepada seseorang.

Ø  Menilai perkara yang hendak dikomunikasikan sebelum bercakap.  Walaupun kita mempunyai banyak pandangan dan perasaan yang hendak diluahkan, tetapi kita perlu sedar bahawa bukan semua yang ingin kita cakapkan itu adalah penting. Hai ini kerana keterpaksaan dia mendengar sebaliknya akan menjana kebenciannya kepada kita, padahal tujuan percakapan kita adalah untuk membina perhubungan yang baik.


Ø  Tidak mencelah percakapan orang lain. Hal ini demikian kerana sekali kita mencelah, panjang pula kita menyambung huraiannya, sehingga tuan asal pemilik percakapan tersekat dan ternganga serta tidak dapat menyempurnakan percakapannya. Biarlah mencelah kita itu mencelah yang pendek sekadar untuk menyatakan sokongan atau persetujuan, bukannya untuk merampas giliran pemilik percakapan itu untuk bercakap.

Ø  Tidak mengulang perkara yang sama berulang kali. Kita mungkin mempunyai tujuan yang baik supaya pendengar tersebut mengambil serius perkara itu, namun bagi sesetengah orang, dia mungkin boleh mentafsirkan secara silap bahawa orang yang mengulang itu memandangnya sebagai berkemampuan minda yang rendah sehingga terpaksa diulang-ulang supaya faham. Demikian juga dengan pujian. Pujian yang berlebihan akan menimbulkan salah tafsiran pada pihak penerima sehingga mewujudkan kebencian dan melunturkan kemesraan.

Peraturan Berbahasa Dari Aspek 
Tujuan Dan Giliran Bercakap

Tujuan percakapan
Kita harus mengutamakan tujuan percakapan dalam pergaulan harian.


  Kita patut menitikberatkan perkara yang penting dahulu. Tujuan perkara itu mestilah menimbulkan sesuatu kesan terhadap orang lain atau sesuatu objek.


Contoh : Kita hendak memberitahu seseorang bahawa sesuatu yang buruk telah berlaku. Perkara tersebut haruslah diberitahu dengan secepat mungkin kerana merupakan perkara yang sangat penting.






  Jika kita mahu memberitahu sesuatu yang penting tetapi tidak segera, kita hendak mencari masa yang sesuai untuk memberitahu orang itu. Tapi, mesti diingat, walaupun perkara itu tidak segera, namun, perkara itu mesti disampaikan kepada pendengarnya.

Contoh : Kita hendak memberitahu kawan kita bahawa gambar yang diambil bersama-sama telah siap dicuci. Kita boleh memilih masa yang sesuai untuk memberitahu mereka kerana perkara tersebut penting tetapi tidak segera.

 Jika kita ingin memberitahu sesuatu yang tidak penting, kita boleh memberitahu orang tersebut pada bila-bila masa sahaja. Kita patut memilih masa yang sesuai di mana kedua-dua penyampai dan pendengar berada dalam keadaan ‘relaks’ dan tidak melakukan perkara lain. Perkara tersebut mestilah berunsur ringan dan sesuai dijadikan idea percakapan dalam perbualan pada masa lapang.

Contoh : Kita boleh menyampaikan atau memberitahu sesuatu yang tidak penting semasa kita sedang berbual-bual dengan pendengar pada masa lapang, seperti aktiviti yang dijalankan pada hujung minggu dan sebagainya.


Giliran Bercakap
Kita harus mengutamakan status dan kedudukan semasa bercakap. Secara umumnya, giliran bercakap bergantung pada tempat kita berada dan orang yang bercakap dengan kita. Contohnya,

Dalam keluarga,
1.     Ahli keluarga yang paling tua dan berpengalaman, kebiasaannya datuk dan nenek.
2.     Ibu atau bapa.
3.     Kakak atau abang yang lebih besar.
4.     Pihak yang paling kecil, khususnya adik.

Di sekolah,
1.     Pengetua atau Guru Besar.
2.     Penolong kanan sekolah.
3.     Ketua unit atau jabatan.
4.     Para pensyarah atau guru.
5.     Wakil pelajar, khususnya ketua pengawas sekolah.
6.     Para pelajar.



No comments:

Post a Comment