Isu
Sikap Ibu Bapa dan Masyarakat 2:
Ibu
Bapa penting dalam Membentuk Masyarakat yang Santun Berbahasa
PENGENALAN:
Dalam membentuk masyarakat yang santun
berbahasa, peranan ibu bapa paling penting jika berbanding dengan pihak-pihak
lain seperti pihak sekolah dan kerajaan. Hal ini demikian kerana pemupukan
nilai kesantunan sewajarnya bermula sejak awal tahun seseorang itu. Ibu bapa
sebagai pihak yang terdekat dengan anak-anak harus melaksanakan pelbagai
langkah bagi mewujudkan individu yang bersantun ketika berkomunikasi dengan
orang lain dalam kehidupan seharian mahupun melalui alat komunikasi seperti
perbualan telefon, SMS, Facebook dan sebagainya.
ISU-ISU
Adakah
remaja kini menggunakan bahasa yang bersantun? Isu ini banyak diperkatakan
dalam masyarakat hari ini. Penggunaan bahasa dalam kalangan remaja
menimbulkan keresahan banyak pihak. Baik dalam bentuk lisan (percakapan)
mahupun tulisan terutamanya dalam khidmat pesanan ringkasan (SMS), e-mel dan di
laman-laman sosial, para remaja menggunakan bahasa yang memeningkan kepala
seperti giler kau, binatang ni, tolol, bingung, jahanam
kau, dan sebagainya.
Kita
sering bertemu dengan remaja yang tidak memberi salam, melakukan kerja-kerja
maksiat secara terang-terangan, hilang silu dan malu apabila bercampur gaul,
menggunakan bahasa dan kata-kata kurang bersantun dan berunsur lucah, memakai
pakaian menjolok mata, melawan ibu bapa, melawan guru, terlibat dengan gejala
sosial dan kegiatan dadah serta banyak lagi. Itulah gambaran sebahagian remaja
kita yang sudah tidak bersantun. Bayangkan kalau mereka ini bakal menjadi ibu
bapa, pemimpin pada masa depan, apakah mereka boleh menyumbang ke arah
pembangunan negara dan kesejahteraan umat?
PUNCA
Keluarga
berpengaruh besar atas penggunaan bahasa seharian anak-anak.
Penggunaan bahasa kesat, maki hamun atau bacar mulut yang menjadi kebiasaan
dalam keluarga akan menyebabkan anak-anak membesar dengan penggunaan bahasa
yang sedemikian dan nantinya anak-anak akan menggunakannya dalam pengucapan
harian di luar rumah. Latar belakang keluarga yang tidak stabil seperti ibu
bapa yang sering bertelagah di hadapan anak-anak selalunya menggunakan bahasa
dan nada kurang baik sehingga meninggalkan kesan dalam diri anak-anak mereka.
Akhirnya menyebabkan gangguan emosi anak-anak sehingga menyebabkan komunikasi
mereka juga sentiasa disulami kata-kata tidak bersantun, mencarut dan
sebagainya yang menggambarkan situasi jiwanya yang kusut dan memberontak
(Baharum Ali, 2011)
KESAN
Antara kesannya ialah remaja hidup dalam dunia
keseronokan yang boleh menjadikan mereka leka dan menyebabkan mereka
hanyut dalam dunia mereka sendiri. Nilai berbudi bahasa dan pengamalan adat
resam yang bersantun tidak lagi menjadi pegangan lantaran dipengaruhi unsur-unsur
negatif seperti individualistik dan kebebasan tanpa batasan.
Ketidaksantunan
dalam pertuturan juga menyebabkan tindakan fizikal yang dilakukan oleh para
remaja menjadi tidak bermoral dan mudah terlibat dengan usur-unsur negatif
dan budaya daripada acuan Barat dijadikan sandaran maju dan moden. Sikap
berpoya-poya, rasa hilang malu dan adab, melanggar tertib, dan peraturan,
menjadi sebahagian yang melatari watak remaja.
Sekiranya remaja masa kini terus alpa
dengan gaya hidup mereka, tentunya akan memberi kesan kepada negara pada masa
depan, kerana remaja hari ini pastinya suatu hari nanti akan berada
di barisan hadapan untuk mengambil alih tampuk pimpinan keluarga, masyarakat
dan negara.
LANGKAH
MENGATASI
Dalam
menangani masalah ini, institusi keluarga yang paling utama hendaklah memainkan
peranan untuk membimbing anak-anak mereka dalam membentuk gaya pertuturan yang
bersantun dan teratur. ibu bapa haruslah mengamalkan sikap positif dalam pertuturan dan
memberi satu imej yang baik kepada anak-anak sejak kecil. Ibu bapa mestilah menjadi contoh
teladan yang terbaik untuk anak-anak. Ibu bapa hendaklah bertegas supaya
anak-anak terbiasa dengan disiplin dan pertuturan yang bersantun tanpa mengira
di mana mereka berada.
KESIMPULAN
Sudah
sampai masanya para remaja menjalani transformasi dalam pengamalan nilai murni
melalui sifat kesantunan berbahasa. Nilai kesantunan ini perlu diterapkan
kerana nilai ini akan menggambarkan hati budi, akal budi dan sahsiah
penuturnya. Kita sesungguhnya ingin melihat remaja hari muka bukan sahaja
mempunyai personaliti yang berketrampilan tetapi juga memiliki sahsiah yang
berkeperibadian mulia yang akan menjadi kebanggaan semua.
No comments:
Post a Comment