Wednesday, August 14, 2013

ISU PERTEMBUNGAN BUDAYA : BUDAYA TIMUR vs BUDAYA BARAT

ISU PERTEMBUNGAN BUDAYA :
BUDAYA TIMUR vs BUDAYA BARAT



PENGENALAN

Pengalaman hidup dan berinteraksi dengan masyarakat Barat ketika zaman belajar mahupun ketika bekerja pasti memberikan pengalaman yang cukup berharga bagi setiap individu. Rata-rata bagi yang pernah mendepani pengalaman serupa pasti akan bersetuju bahawa terdapat jurang yang agak besar antara budaya Timur dan Barat dalam segenap aspek kehidupan. Tidak dapat dinafikan bahawa pelbagai kelebihan budaya ketimuran yang terkenal dengan kelembutan dan tatasusila, tidak salah juga rasanya kita menangguk anasir-anasir baik yang begitu sinonim dengan budaya Barat bagi menambahbaik kualiti serta daya saing bangsa Timur.

(Biru=Barat, Merah=Timur)




1.Antara Jelas Dan Berkias


     Masyarakat Timur sangat terkenal dengan pelbagai pantang larang dan formaliti berasaskan konsep kesantunan yang kita amalkan selama ini. Masyarakat Barat pula mementingkan isi perbicaraan ketika berkomunikasi. Oleh itu, mereka sangat berterus-terang dan jelas dalam menyampaikan mesej. Budaya Timur mementingkan lambang tidak verbal dalam komunikasi, kadangkala keterlaluan sehingga mengundang pelbagai komplikasi. Penyampaian mesej yang ringkas dan mudah akhirnya menjadi sukar kerana menghormati status pendengar, meraikan masa dan lokasi, menjaga perasaan khalayak dan faKtor lain yang berasaskan konsep kesantunan berbahasa.

Maka tidak hairanlah mesyuarat dalam syarikat korporat terkemuka Barat berjalan dengan sangat ringkas, padat dan tepat. Manakala di syarikat Timur, mesyuarat yang mudah mengambil masa berjam-jam, kadangkala berlarutan tanpa kesudahan, keputusan atau resolusi yang meyakinkan.


ANGER
Jika tidak berpuas hati terhadap sesuatu, masyarakat Barat akan lantas berterus terang. Mereka akan berbincang secara matang dan mengharmonikan kembali suasana. Sebaliknya orang Timur biasanya hanya akan diam memendam rasa tetapi api kemarahannya akan disimpan.





2. Antara formaliti dan rendah hati

 THE BOSS 

     Dalam masyarakat Barat, status dan pangkat tidak menjadi keutamaan. Majikan hanya lebih berkedudukan dalam susun organisasi sahaja. Formaliti tidak begitu ditekankan. Budaya sebegini mencerna kemesraan dan menutup jurang perbezaan tanpa berlaku penghakisan rasa hormat terhadap individu yang berstatus lebih tinggi. Yang lebih menarik, mereka yang berkedudukan juga tidak meninggi diri. 


     Dalam majlis rasmi, pengacara majlis tidak menyebut nama seorang demi seorang tetamu kehormat yang hadir, tetapi hanya disapa sebagai ’ladies and gentleman’. Namun, majlis formal di Malaysia biasanya mengambil masa sekurang-kurangnya 5 minit untuk menepati protokol bagi menyebut nama dan meraikan tetamu kehormat yang hadir bagi memenuhi aspek kesantunan.

     Formaliti sememangnya diperlukan sebagai asas susun atur kerangka perhubungan masyarakat. Namun jika terlalu diberat-beratkan, akan menatijahkan hubungan yang kering, jurang status sosial yang besar serta pelbagai protokol kompleks untuk menyelesaikan sesuatu yang mudah.




3. Antara Sapa Dan Lupa

     Di negara Barat, ke mana sahaja kita pergi kita pasti akan disapa mesra. Mereka bertanya khabar dan berkenalan walaupun dengan individu yang tidak pernah dikenali. Situasi ini amat sukar ditemui di Malaysia.
Adakah kita telah lupa bahawa masyarakat Timur yang mementingkan kesantunan dan tatasusila yang halus berbanding masyarakat Barat yang lebih mengutamakan individualistik?

     Pemerhatian dan kajian menunjukkan budaya menegur sapa, memberi salam, berjabat tangan dan bertanya khabar dalam masyarakat Timur semakin terhakis. Senario yang menunjukkan sifat kesantunan seperti membongkokkan badan apabila melintas di hadapan orang yang lebih tua, menutup mulut ketika ketawa serta pemakaian dan pergaulan sopan anak-anak gadis sudah semakin luntur.


Sudah tentu kita telah terbiasa dengan fenomena seperti duduk bersebelahan di dalam bas sepanjang perjalanan 5 jam tanpa saling menyapa dan bertanya khabar. Adakah terlalu sukar untuk kita melafazkan salam dan perkataan ‘Apa khabar?’ atau ‘Amacam?’ Atau sekurang-kurangnya sekadar melempar senyum!





4. Antara Semangat Ingin Tahu Dan Kepatuhan Melulu

     Akibat terlalu lama dijajah bangsa asing, masyarakat Timur menjadi rendah keyakinan diri, kurang proaktif, rendah semangat ingin tahu serta sering tunduk dan patuh tanpa banyak soal dan bantahan. Sebaliknya masyarakat Barat sangat tinggi semangat ingin tahu, begitu agresif dan bertenaga, kritis serta lebih kreatif.

     Selain faktor sejarah, sistem pendidikan serta budaya masyarakat semasa juga memberi kesan. Sebagai contoh, sistem pendidikan awal kanak-kanak terlalu mementingkan aspek akademik, budaya menerima tanpa mempertikai, interaksi sosial yang sempit dan longgar telah melahirkan generasi yang introvert, malu tidak bertempat, tidak kompetitif dan jumud. Dalam masyarakat Barat, sistem pendidikan kanak-kanak memberikan penekanan terhadap aspek pembinaan karakter dan kemahiran berbanding akademik.


KANAK-KANAK


      Contohnya, kanak-kanak Barat suka bertanya pelbagai soalan kepada ibu bapanya sepanjang perjalanan selama sejam dalam keretapi. Ibu bapanya pula akan menjawab satu demi satu soalan dengan penuh sabar dan sesekali bertanya kembali untuk menguji anaknya. Interaksi sebegitu pastinya akan menambah semangat ingin tahu anak-anak serta membina keyakinan diri dan kesedaran sosial yang mapan. Kisah sebegini bukanlah perkara terpencil dalam masyarakat Barat. Pelajar mahupun pekerja dari Barat memiliki tulisan tangan yang tidak kemas berbanding kebanyakan warganegara Malaysia, tetapi mereka jauh lebih terkehadapan dari segi pertuturan.




5. Antara Ketepatan Masa Dan Kepenatan Menunggu Masa


     Dalam masyarakat Timur, individu yang berdisiplin dan menepati masa akan terasa rugi kerana penat menunggu setiap kali tiba awal dan akhirnya akan mengikut jejak langkah majoriti yang lewat. Masyarakat Barat pula sangat terkenal dengan budaya ’monochronic time’. Ketepatan masa diambil berat. Mereka menghormati masa dan sangat serius dalam pengurusannya. Pemandu bas juga sangat menghormati masa dan memastikan perjalanan bermula tepat mengikut jadual.





KESIMPULAN

Jurang yang besar antara budaya Barat dan Timur dalam aspek komunikasi dan sosial adalah natijah sejarah ketamadunan, latar belakang masyarakat serta sistem kehidupan dan nilai semasa yang digunapakai. Jika Barat lebih mendewakan intelektual (IQ), maka timur lebih menggunakan hati (EQ). Pengaruh ini pun terlihat dalam kehidupan sehari-hari. Dunia Barat bertumpu pada pembangunan sistem sebagai kekuatan yang menjaga nilai, sedangkan Timur memiliki kekuatan dalam menanamkan nilai-nilai tersebut menjadi personalbeliefs. Jika dua budaya ini disatukan, budaya yang hebat akan dilahirkan. Oleh itu, kita tidak harus pasrah dengan ketentuan takdir dan terus berada dalam kepompong kemunduran dan kelemahan. Masyarakat Timur di Malaysia perlu melakukan anjakan paradigma, reformasi sikap, membaiki kelemahan jatidiri serta memupuk nilai-nilai positif dalam pembentukan sebuah bangsa yang bersantun dan bertamadun. Hal ini harus bermula dari institusi keluarga, sistem pendidikan dan perhubungan sosial masyarakat yang sihat. Dengan ini, pasti kita dapat mencipta perubahan positif yang diharapkan.






No comments:

Post a Comment